Sumber:Malaysiakini.com
Speaker DUN Perak yang digugurkan V Sivakumar berkata beliau dikurung dalam sebuah bilik persalinan selepas dibawa keluar dari DUN Perak semalam.
"Ini satu bentuk tahanan. Mereka kunci pintu," katanya, sambil menyifatkan persidangan itu - yang tidak diiktirafnya - sebagai "konspirasi" yang melibatkan banyak pihak.
"(Konspirasi) ini jelas hendak jatuhkan Speaker (Sivakumar). Jika ini bukan konspirasi, saya tidak tahu apakah maknanya konspirasi," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP Perak di Ipoh pagi ini.
Turut hadir, tokoh popular DAP Lim Kit Siang dan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.
Menyifatkan insiden semalam sebagai memalukan, kesemua mereka bergambar sambil memegang kertas bertulis "malu" dalam pelbagai bahasa.
Di penghujung sidang media berkenaan, mereka turut menayangkan rakaman beberapa insiden kekecohan di dalam dewan persidangan yang penuh drama dan emosi selama enam jam.
Sivakumar turut menyuarakan kekesalannya terhadap tindakan bentara yang tidak menurut perintahnya, sebaliknya meminta beliau keluar dewan.
Beliau berkata, bentara datang kepadanya dan berkata: "YB Adun Tronoh (Sivakumar), saya minta tuan keluar daripada dewan. Arahan daripada Speaker (baru, lantikan BN)."
Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir semalam mengusulkan R Ganesan, bekas ADUN Sungkai, sebagai pengganti Sivakumar pada sesi pagi di tengah-tengah bantahan semua 27 ADUN Pakatan Rakyat sebelum dewan dibuka secara rasmi oleh Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.
Sivakumar menegaskan, persidangan DUN Perak semalam "tidak pernah bermula" kerana sejak awal lagi beliau memaklumkan, dewan hanya akan bersidang apabila Zambry dan enam exconya - yang telah digantung - keluar.
Artikel Februari 2022
2 years ago
0 comments:
Post a Comment