Tuesday, February 3, 2009

Dakwaan Najib tawar RM50 juta ke SPRM

Sumber Malaysiakini
Jimadie Shah Othman Feb 3, 09 12:44pm

Angkatan Muda PKR hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan cubaan menyogok wakil-wakil rakyat PKR sejumlah RM50 juta.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama timbalannya Mohd Fariz Musa membawa isu yang didedahkan oleh ketua PKR Ipoh Barat yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba memujuknya melobi dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak supaya melompat parti.

Dalam akuan berkanunnya semalam, Fauzi Muda mendakwa, beliau telah ditawar sejumlah wang tersebut bagi perkhidmatannya itu dan untuk membayar mereka yang berjaya dipujuk menyertai BN dalam satu pertemuan di kediaman rasmi Najib di Putrajaya tahun lalu.

Shamsul tiba kira-kira 12.15 tengah hari ditemani 20 aktivis sayap kanan PKR itu dan mengedarkan kenyataan akhbar kepada media.

Beliau dilihat memasuki bangunan tersebut bersama Mohd Fariz dan setiausaha pergerakan itu Zulfikar Ali Ariffin lima minit kemudian.

Dalam kenyataannya, Shamsul berkata, pendedahan Fauzi dan Adun PKR Bukit Selambau, V Arumugam menunjukkan kegiatan rasuah "sangat serius dan membahayakan negara".

"Angkatan Muda melihat wujud keperluan untuk SPRM bertindak menyiasat Najib bersandarkan kepada dua pendedahan yang telah dibuat semalam oleh Arumugam dan Fauzi tersebut.

"Justeru, AMK akan membuat laporan kepada polis dan SPRM secara rasmi demi memperlihatkan keseriusan kes demi kes yang berlaku membabitkan Najib," katanya.

Semalan, Arumugam yang juga exco kerajaan Kedah mendakwa ditawarkan sejumlah wang untuk melompat kepada BN, termasuk melalui ugutan bersifat jenayah terhadapnya, keluarga dan pegawai-pegawainya.

Arumugam mendakwa usaha menariknya meninggalkan PKR bermula sejak kemenangannya tahun lepas sehingga beberapa hari lalu.

Shamsul turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar "tidak campur tangan dalam proses siasatan terhadap Najib".

Malah, tambahnya, perdana menteri melalui kuasa eksekutifnya harus "menggantung tugas Najib bagi memberi ruang yang kondusif kepada SPR untuk menyiasat."

Dalam sidang media ringkas setelah membuat aduan berkenaan, Shamsul menjelaskan Fauzi tidak dapat tampil sendiri membuat aduan kerana menghadiri satu program di Perak.

Ditanya kenapa AMK hanya tampil membuat aduan setelah hampir setahun cubaan merasuah itu dibuat, beliau berkata, "selama ini perkara itu di luar pengetahuannya".

"Jika tahu, sudah tentu kita buat lebih awal. Kita sentiasa konsisten membuat pendedahan sebegini," katanya.

Shamsul juga berkata, AMK sedang mengaturkan pertemuan dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail bagi menyerahkan dokumen sokongan berhubung aduan mereka hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas timbalan menteri pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin mengakui memang wujud pertemuan dengan Najib seumpama digambarkan dalam akuan berkanun Fauzi itu.

Di sidang medianya di Ampang tengah hari ini, Zainal bagaimanapun menafikan beliau mendengar tentang rundingan wang seperti didakwa.

0 comments:

Post a Comment

 

CKITUL

People may have different views on one thing. It is a matter of perspective. I have my own when I look the thing through my spectacles.

'The Universal Declaration of Human Rights indicates'

"Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference, and impart information and ideas through any media regardless of frontiers"

MACC Downfall Parody

Hitler lives on!

Watch the shocking parallels here and for proof that Hitler lives on!

Ckitul Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template